Jumaat, 9 September 2011

SAMBUTAN HARI RAYA

    Apabila Hari Raya menjelang tiba,ingatan mengimbau kembali kenangan dan nostalgia silam bagaikan ianya baru semalam saja ianya berlaku.Kenangan menggamit mengimbau dan mengenang peristiwa lalu masih terbayang di mata.Suasana kampung yang indah permai,dengan lambaian dedaun pokok-pokok dan lambaian daun kelapa yang banyak terdapat di kampung tempat aku dilahirkan.Teringat sungai Kelawar yang mengalir yang menjadi tempat pangkalan mandi penduduk kampung.Apabila musim hujan,air sungai naik dan dalam,sungai menjadi tempat bermain budak-budak kampung.Mandi terjun di tempat-tempat tertentu,di tempat airnya dalam dan berkawasan luas adalah dijadikan tempat melompat terjun sungai,bermain kejar-kejaran dan bermain perang membaling tanah liat.Semasa air dalam juga banyak pokok pisang yang musnah ditebang untuk dijadikan rakit.Semuanya indah dan menyeronokkan.
   Kenangan berhari raya di kampung menggamit kenangan walaupun sudah lama tidak berpeluang berhari raya di kampung,Sesekali akan balik juga ke kampung turut serta bertakbir dari satu rumah ke satu rumah hingga ke pagi.Kawan-kawan lama juga sudah ramai yang tiada,ada antaranya yang telah meninggal dunia dan telah tidak tinggal di kampung lagi kerana telah bekerja dan mempunyai keluarga dan menetap di tempat mereka bekerja.
   Suasana raya bermula sehari sebelum Hari Raya,iaitu hari melemang iaitu sehari sebelum Hari Raya.Bermula selepas subuh akan ramailah orang-orang kanmpung sibuk menyiap dan menyediakan persiapan untuk melemang.Membuat tonggak tempat membakar lemang,kayu api,membasuh buluh,mengukur kelapa serta memerah santan dan memasukkan pulut ke dalam buluh.Di sungai pengkalan mandi memang ramailah,memang seronok dan pada masa inilah masa yang menyeronokkan dan teringat hingga kini.Begitu juga di stesen bas,ramai orang kampung hendak ke pekan iaitu Tanjung Malim membeli daging dan barang-barang keperluan hari raya.
   Setelah bersembahyang Maghrib jemaah mula bertakbir apabila telah diistiharkan besok raya.Selepas solat Isya' akan bermula rombongan satu rumah ke satu rumah bertakbir dan bertahlil hingga ke pagi.Kadang kala hingga pukul tiga empat pagi baru selesai rombongan bertakbir dari satu rumah ke satu rumah.Setiap rumah akan menyediakan hidangan kuih raya dan ada juga selain kuih raya seperti laksa,mi goreng,mi kari dan lain-lain.Bagi orang budak-budak pula bermain kejar-kejar dan main menyorok.Bunyi mercun pula berkumandang hingga ke pagi.Bagi budak-budak muda akan berkumpul bersembang-sembang hingga ke pagi.Besoknya setelah solat Hari Raya Aidilfitri,penduduk kampung akan berziarah ke rumah kawan-kawan atau saudara mara.
  
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan