MENZIARHI PUSARA BONDA - NO. KUBUR 1846
Pada hari Ahad tanggal 28.8.2011 bersamaan 28 Ramadhan iaitu dua puluh lapan hari puasa semasa dalam perjalanan pulang ke Tanjung Malim ke rumah kak Esah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri,kami sekeluarga iaitu isteri serta anak-anak,Syakir dan Syamil singgah ke pusara bonda yang terletak di Taman Ibukota,Kuala Lumpur.Memang merupakan kebiasaanku bila balik ke kampung menyambut Hari Raya,pasti aku dan keluarga pergi menziarahi kubur emak sebelum meneruskan perjalanan ke Tanjung Malim.Biasanya bila dua atau tiga hari nak raya,kami sekeluarga akan balik ke kampung.Sebelum itu kami akan singgah di Kuala Lumpur untyuk membeli pakaian anak-anak.Sebelum melakukan aktiviti membeli-belah kami akan ke kubur emak terlebih dahulu.Kemudian baru kami melakukan apa-apa yang perlu.
Pada hari raya yang lalu kami singgah di Kuala Lumpur kerana mengambil baju Melayu yang kami tempah sehari sebelum puasa.Kami juga pergi membeli pelbagai barangan untuk keperluan Syakir yang akan menghadapi peperiksaan UPSR seminggu selepas Hari Raya.Selepas selesai segalanya itu baru kami meneruskan perjalanan balik ke Tanjung Malim.Kadang-kala pukul dua tiga pagi baru sampai ke rumah kak Easah,setelah puas merayau.Kalau sampai di Tanjung Malim awal atau pada waktu siang pasti akan pergi mandi di Sungai Lubuk Nibung dulu baru kami pergi ke rumah kak Esah.Anak-anakku memang suka mandi sungai.Kalau tiga hari di rumah kak Esah,tiga harilah kami akan mandi di Sungai Lubuk Nibung.Air sungainya tersangat jernih dan sejuk dan batunya besar-besar.Sungainya luas dan terletak di dalam hutan.
Ibuku meninggal dunia pada 2.12.1989 bersamaan 3 Jamdilawwal 1410,pada waktu subuh.Ibuku disemadikan di Tanah Perkuburan Taaman Ibukota,Gombak,pada pukul 3.00 petang.Ibu meninggal di rumah kak Ulong di Kampung Pasir,Setapak.Nombor kubur ibu ialah 1846.
NOSTALGIA
( Dinukilkan pada Disember 1992 )
Tiga tahun berlalu
Serasa baru semalam
Dikau pergi buat selama-lamanya
Dikau...
Wahai ibu yang tercinta
Kehangatan pelukan kasih
Masih serasa
Belaianmu ... ibu
Ku mengharap sentiasa
Kini semua hampa
Masa dengan pantas
Menyambar lalu
Rupanya sudah tiga tahun
Berlalu ...
Kau telah meniggalkan
Anak-anakmu
Masih terngiang-ngiang dicupingku
Panggilan manjamu padaku
Segar dalam ingatan
Wajah ibu yang kukasihi
Jelas terbayang di pelupuk mata
Rupa dan wajah dikau ibu
Tahi lalat di dahi kananmu
Kasih sayangmu
Terhadap anak-anakmu
Ibu ... kau sanggup menderita
Kau rela berkorban
Kau pentingkan anak-anakmu
Malam tidurmu lewat
Menghambakan diri
Terhadap Ilahi
Bertaqarrub dan berzikir
Malammu ... kau habiskan
Ditikar sembahyangmu
Siangnya ...
Kau bangun terlalu awal
Menjelang subuh semua tersedia
Makanan yang beraneka
Dari nasi hingga kuih-kuih.
29 DISEMBER 12992 - 12.10 TENGAH MALAM
Walaupun daku serasa
Masih memerlukanmu
Keinginanku ...
Biarlah daku
Duluan menyambut panggilan Ilahi
Namun semua sudah suratan
Ketentuan Allah adalah segala
Semoga rohmu
Aman bahagia
Agar Allah
Menempati dikau ibu
Beserta,mereka yang dicintaiNya
Sebagai penghuni syurga Ilahi.
KEKASIH
Masihku rasa
Kehangatan kasihmu
Demi ... kasihmu
Terhadap anak-anakmu
Dikau,wahai ibu
Rela kau korbankan
Rela kau berkorban
Walau anakmu ...
Membuat aib dan derita
Tetap kau akui
Tetap kau sayangi
Rela kau perjuangkan
Demi kasihmu
Terhadap anak-anakmu
Duhai ibu
Semua ini kau punya
Kini aku kehilanganmu
Dalam aku kian hampir
Kau menjauh buat selama-lamanya
Bersemadi kini jasadmu
Di tanah ... perkuburan
Dalam tenang,pembaringan
Semoga Allah
Mencucuri rahmatNya
Ke atas rohmu
Duhai ibu yang tercinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan