Jumaat, 9 September 2011

                                                KENANG-KENANGAN
   Di sinilah suatu ketika dulu,30 atau 40 tahun yang lalu pengkalan mandi penduduk kampung.Ini ialah Sungai Kelawar,yang mana suatu ketika dulu airnya dalam dan kawasannya lebar.Ini adalah pengkalan jantan ianya tempat orang lelaki mandi.Sekarang air sungai mengalir lesu dan sempit.Di sebelah kanan tidak jauh dari pengkalan mandi ini terdapat rumah nenek Haji Ramli.Nenek Haji Ramli ini seorang yang rajin,dialah yang selalu menjaga dan membersihkan sekeliling pengkalan sungai ini dan menjadikan pengkalan sungai ini lebar.
   Sungai ini pada masa dahulu sentiasa ada orang siang malam.Di Sungai ini jugalah tempat membuang air.Di awal pagi dipenuhi oleh mereka yang akan pergi menoreh getah untuk mandi sebelum pergi menoreh.Ada antara mereka yang pergi menyuluh iaitu menoreh getah pada waktu awal pagi seawal pukul dua tiga pagi.Bagi kami yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Kelawar akan mandi beramai-ramai di pengkalan sungai ini.Biasanya kami budak-budak akan duduk monggok iaitu duduk mencangkung di tepi sungai dengan berselimutkan kain sarung sebab sejuk.Selalunya nenek Haji Ramlilah yang akan menyimbuh atau menyimbah kami dengan air agar cepat mandi.Apa lagi kamipun menghambur ke dalam sungai terus mandi sebab kalau tunggu lama-lama lagi bertambah sejuk.Selepas mandi balik dan pergi ke sekolah.Begitulah selalunya yang kami amalkan.
   Apabila setelah bersekolah ke Tanjung Malim kena bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk menunggu bas.Tentu hari masih gelap lagi dah turun ke sungai untuk mandi dan pergi ke sekolah.Aku selalunya akan terus melompat ke dalam sungai dan lekas-lekas naik ke atas kerana takut.Selepas bersabun di atas baru terjun ke sungai semula dan cepat-cepat menyental sabun cepat-cepat naik ke atas dan terus balik ke rumah.Kadang-kadang pergi ke sungai dan mandi seorang diri sebab budak-budak lain mandi lambat sedikit kerana mereka bersekolah di kampung.Tambahan pula kawasan keliling disebelah kiri sungai tersebut semak dan gelap menyebabkan rasa takut.
   Dulu sungainya dalam dan amat seronok sekali mandi,airnya pun sejuk dan jernih sejernihnya sehingga nampak pasir di dasar sungainya.Kini hanya tinggal kenangan sahaja dan tidak digunakan untuk mandi.Yang masih ada lagi pokok buluh di seberang sungai.Dulu semasa saya kecil-kecil dulu rumpun buluhnya luas dan banyak pokok buluh.Di tepi tebing banyak terdapat pokok paku pakeh.Memang menjadi ambilan orang kampung pucuk pakeh tersebut untuk dibuat sayur dan dimasak bersama ikan sungai.Terutama apabila bulan puasa pucuk paku pakeh ini sedap dibuat anyang.
   Bila tiba musim hujan air Sungai Kelawar akan menjadi dalam.Apa lagi memang menjadi tempat mandi dan bermain kami budak-budak.Berakitkan batang pisang,beranyut dan pelbagai aktiviti dan permainan sungai yang dilakukan.Kadang-kala keluar sungai hanya balik makan.Selepas makan nasi,pergi mandi sungai semula.Kadang-kadang hingga mata merah dan pedih asyik berendam mandi sungai baru keluar sungai atau balik ke rumah
   Bila musim panas air sungai menjadi cetek,kami akan mengempang dan menimba air sungai.Ikan memang banyak dan pernah satu ketika aku dan kawan-kawan mendapat satu tin minyak api,ikan hasil dari mengempang dan menimba sungai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan